Popular Posts

Thursday, January 29, 2015

Bantah larangan merotan anak

SukaGuam minta kementerian segera batalkan cadangan jadikan merotan anak sebagai kesalahan jenayah.

Rujukan kes pasangan Malaysia Sweden sudah jelas dan nyata, mungkinkah anak-anak akan dipisahkan dengan ibubapa kandung hingga berusia 18 tahun ?

Akan wujudkah manipulasi dan 'industri anak angkat' yang memberi pulangan lumayan, sepertimana Sweden membayar 10 ribu Swedish Kronas (RM4,300) kepada ibubapa angkat ? 
--------------------------------------

1. Pengalaman SukaGuam sebagai pemerhati dalam kes pasangan Malaysia di Sweden mendapati larangan merotan anak seperti terkandung dalan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) ditentang hebat oleh pengamal undang-undang, bekas hakim, aktivis masyarakat dan ibubapa di negara itu. Malah, ia turut dikecam oleh pihak-pihak yang rasional dari Nordic Committee for Human Rights, World Peace Foundation (Sweden) serta The Stockholm Institute of Public and International Law.

2. Jika pihak mereka juga tidak sependapat berkenaan perkara ini, mengapa pula Malaysia mahu mencontohi undang-undang yang jelas berlawanan dengan amalan agama majoriti rakyat negara ini yang merotan anak bagi tujuan mendidik dan mendisiplin melalui kaedah tertentu.

3. Harus diingat bahawa merotan bagi tujuan mendidik adalah 'amat berbeza' dengan perbuatan mendera seperti yang ditafsir dalam CRC. Malah, statistik penderaan kanak-kanak tidak pun berkurangan, malah bertambah buruk di negara-negara yang melarang perbuatan merotan anak.

4. Kesalahan jenayah melibatkan 2 elemen iaitu actus reus (perlakuan) dan mens rea (niat jenayah). Niat jenayah hanya wujud andai ia berlaku secara konsisten dan tidak bersebab. Merotan anak bagi tujuan mengasuh jelas terkeluar dari pengertian ini.

5. SukaGuam bimbang, hukuman ke atas ibubapa yang merotan anak akan disusuli dengan tindakan susulan seperti di Sweden iaitu memisahkan anak-anak berkenaan sehingga berusia 18 tahun. Anak-anak akan diperintah mahkamah untuk diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat yang berkemungkinan berbeza agama.

6. Hasil kajian kami di Sweden juga mendapati bahawa sejak undang-undang itu diperkenalkan pada 1979, sudah lebih 300 ribu kanak-kanak dipisahkan dengan ibubapa kandung mereka dan terpaksa hidup dengan keluarga angkat sehingga berusia 18 tahun. Undang-undang ini amatlah menyiksa jiwa anak-anak dan ibubapa kandung berkenaan.

5. Beberapa pihak di Sweden juga mendedahkan betapa undang-undang ini dimanipulasi untuk mengaut keuntungan dengan wujudnya 'industri anak angkat', di mana pemberi maklumat dan ibubapa angkat diberi bayaran sehingga 10 Ribu Swedish Krona (kira-kira RM4,300) bagi seorang anak angkat yang dijaga.

6. Menteri berkenaan mungkin terkhilaf dalam perkara ini, namun masih belum terlambat untuk memperbetulkannya. Merotan anak-anak adalah diharuskan oleh agama bagi tujuan mendidik, seperti yang disebut dalam Hadis Nabi.

7. Mengapa kita mahu termakan umpan agenda Barat melalui Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang secara halus mahu umat Islam menjauhi ajaran agama dalam mendidik anak-anak soleh dan solehah ?

8. Cadangan ini jika dilaksanakan bakal melahirkan 'generasi besar kepala', tidak menghormati ibubapa, seterusnya membesar dengan akhlak buruk seperti yang kini berlaku di negara yang mengamalkan peraturan larangan merotan anak.

Khairul Anwar Rahmat
Pengerusi SukaGuam Malaysia

No comments:

Post a Comment