7 Perempuan Bertanya, Seorang Lelaki Menjawab
Sekumpulan wanita sedang berhimpun berbincang tentang pelbagai permasalahan. Secara tanpa disedari, timbul persoalan dari setiap wanita itu mengenai kekurangan pada wanita yang dirasakan sukar dan tidak adil. Setiap dari seorang mereka menyuarakan persoalan masing-masing.
Keluhan wanita pertama:
"Aduh, situ tutup, sini tutup, semua nak kena tutup. Susah la camni. Apasal laki-laki mudah saja? Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya kiri kanan atas bawah depan belakang."
Keluhan wanita kedua:
"Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami pulak? Padahal suami nak keluar ke mana-mana pun, tak bagitau kami takpe pulak."
Keluhan wanita ketiga:
"Jika kita ikut faraid (pembahagian harta pusaka mengikut Islam), ikut surah al-Nisa dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sikit rasanya berbanding harta yang anak lelaki dapat. Itukah keadilan?"
Keluhan wanita keempat:
"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak? Suami kita senang saja, masa buat anak cari kita. Masa nak beranak, kita yang tanggung sendiri!"
Keluhan wanita kelima:
"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami kita, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?"
Keluhan wanita keenam:
"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak boleh ceraikan suaminya? Kenapa?"
Keluhan wanita ketujuh:
"Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat kita perempuan ni suka ke tak solat dan puasa? Dahlah lepas tu kena ganti pulak."
Kemudian datanglah seorang lelaki kepada mereka lalu ditanya, mengapa mereka mengomel tentang kejadian wanita dan kekurangan-kekurangan tersebut. Setelah disoal dengan soalan-soalan di atas, lelaki itu lantas memandang setiap wanita itu sambil tersenyum, seraya menjawab setiap satu daripadanya.
Pada wanita pertama, lelaki itu menjawab:
"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang paling aman dan terbaik, kan? Emas dan permata pun tak sanggup kita nak letak terdedah di tepi laluan lalu lalang, sebaliknya kita simpan di rumah atau dalam peti selamat kan? Jika anda letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut, tapi anda? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan!! Mahalnya harga anda untuk seorang lelaki."
Pada wanita kedua, lelaki itu menjawab:
"Memang, isteri perlu taat pada suami. Tapi, bagaimana pula lelaki? Seorang suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri pula tidak perlu lagi. Taatnya hanya pada suami. Kenapa anda perlu taat pada suami? Kerana suami andalah yang menanggung SEMUA dosa yang anda lakukan."
Pada wanita ketiga, lelaki itu menjawab:
"Benar wanita menerima warisan pusaka sedikit berbanding lelaki, tetapi harta itu menjadi hak mutlak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Tak perlu dikongsi dengan sesiapa walaupun suami. Lelaki pula, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasalah dia."
Pada wanita keempat, lelaki itu menjawab:
"Tahniah dan terima kasih kepada wanita kerana dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali anda begitu, anda akan didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat. Subhanallah,beruntungnya anda!! Andaikan anda meninggal pula masa beranak tu, percayalah, itu mati syahid dan ganjarannya syurga!!"
Pada wanita kelima, lelaki itu menjawab:
"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab ke atas empat orang wanita. Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu apa maksudnya? Maknanya, anda nanti di akhirat akan dibantu oleh empat lelaki. Siapa mereka? Mereka ialah suami anda, ayah anda, anak lelaki anda dan adik lelaki/abang anda."
Pada wanita keenam, lelaki itu menjawab:
"Nak beribadat macam lelaki beribadat? Agaknya kenapa Rasulullah SAW lebih suka wanita beribadat di rumah saja berbanding di masjid? Kami lelaki perlu beribadat siang malam untuk mendapat syurga. Anda sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang anda sukai, tanpa perlu susah payah. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula, hanya dengan empat cara. Solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan taat pada suami anda. Itu saja."
Pada wanita ketujuh, lelaki itu menjawab:
"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Anda, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka anda akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. Itu janji Allah pada kamu."
Kemudian lelaki itu bertanya mereka pula:
"Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?"
Wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, "Masya'Allah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!"
-----------------------------------
Allah yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Mengetahui pada manusia, sehingga segala hukumNya, malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.
"Dan barangkali kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan barangkali (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Baqarah, ayat 216
No comments:
Post a Comment